JIKA kita pernah menonton filem Slumdog Millionaire yang diarah oleh pengarah filem Inggeris, Danny Boyle pada 2009 sudah pasti akan menganggap ia hanyalah satu khayalan.
Ini kerana ia menceritakan tentang Jamal Malik, seorang kanak-kanak jalanan di kawasan setinggan di India yang baru kehilangan ibunya yang bergelut untuk meneruskan hidup bersama abangnya, Salim.
Jamal kemudian menyertai program Who Wants To Be A Millionaire? dan akhirnya telah menjadi jutawan setelah berjaya menjawab semua soalan dengan betul walaupun tidak berpelajaran.
Sebenar di alam nyata, banyak kisah bekas pengemis yang akhirnya menjadi jutawan setelah bekerja bersungguh-sungguh dan bukan semata-mata hanya mengharapkan sumbangan orang ramai atau mendapat ‘rezeki terpijak’ seperti yang dialami Jamal.
He Rongfeng
Antara mereka ialah He Rongfeng, 38, di China yang kisahnya telah didedahkan oleh laman web, Oddity Central baru-baru ini.
Kisah itu menarik perhatian seluruh dunia selepas Rongfeng yang kini merupakan pengerusi syarikat perusahaan perabot dan cat, Shenyang Jiu Jiu Li Feng Group bertindak menghadiahkan wang tunai satu juta yuan (RM530,000) bagi membalas jasa seorang wanita budiman, Dai Xingfen, 45.
Pada 1993, iaitu kira-kira 21 tahun lalu, Rongfeng yang ketika itu berusia 17 tahun bersama dua rakan terpaksa mengemis di bandar Taizhou, wilayah Zhejiang untuk menyara kehidupan.
Xingfen yang mengusahakan kedai menjual mi bersama suaminya bertindak menjadi penyelamat apabila mereka yang kelaparan kerana tidak makan sejak beberapa hari dibawa pulang ke pangsapurinya.
Walaupun kediamannya hanya mempunyai satu bilik dan dinasihatkan oleh jiran supaya tidak menolong orang tidak dikenali, dia tetap memberi mereka makan dan tempat untuk tidur.
Wanita itu juga telah menghubungi beberapa orang kenalan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada remaja terbabit di bandar lain. Sebelum berpisah, dia juga memberikan mereka duit untuk membeli tiket kereta api.
Xingfen turut memberi nasihat yang telah menyebabkan Rongfeng berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasibnya.
Kata wanita itu; “Tidak mengapa jika tidak mempunyai wang banyak, tetapi haruslah sentiasa berusaha untuk menjadi orang baik dan sentiasa menolong orang lain. Orang baik akan diberi ganjaran.”
Walaupun ditawarkan duit yang cukup banyak, Xingfen menolak wang berkenaan sambil menegaskan dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan di atas setiap pertolongan yang dihulurkannya.
Sebagai alternatif, Rongfeng menghadiahkan plak yang tertera perkataan: “Rasa terhutang budi sama beratnya dengan sebuah gunung” kepada wanita itu.
Ted William
SEORANG lagi pengemis yang bertukar menjadi jutawan ialah Ted William, 57, yang kisahnya pernah disiarkan media massa pada 2011.
Dia menjadi jutawan setelah ditawarkan pelbagai jawatan sebagai juruhebah radio dan pengacara televisyen di Amerika Syarikat (AS) serta sebagai artis suara latar.
William juga sedang dalam proses pembikinan filem bertajuk Houseless mengenai kisah hidupnya yang menjadi gelandangan.
Dia turut menulis sebuah buku mengenai pengalaman hidupnya sebagai pengemis bertajuk A Golden Voice: How Faith, Hard Work and Humility Brought Me from the Streets to Salvation.
Lelaki bertuah itu yang digelar ‘pengemis bersuara emas’ oleh media massa negara berkenaan mula dikenali ramai setelah video pendek memaparkan dia yang sedang mengemis di tepi jalan raya di Colombus, Ohio dimuat naik dalam laman YouTube dan ditonton sebanyak 12 juta kali.
Dia dipaparkan memegang papan iklan bertulisan tangan menawarkan perkhidmatan untuk berlagak sebagai juruhebah radio jika diberi sumbangan oleh orang ramai.
Ketika mengulas perubahan nasibnya, William berkata, dia sentiasa berharap akan ada pihak mengesan bakatnya dan memberikannya kerja tetapi tidak menjangka akan menerima terlalu banyak tawaran dan mendapat perhatian media massa.
“Saya merasakan seperti telah menang loteri dan ia adalah sesuatu yang cukup luar biasa,” ujarnya.
Chris Gardner
KISAH hidup Chris Gardner, 60, yang pernah menjadi orang gelandangan di Amerika Syarikat (AS) bersama anak lelakinya yang ketika itu berusia dua tahun pada 1980-an telah dijadikan filem bertajuk The Pursuit of Happyness pada 2006.
Aktor terkenal Hollywood, Will Smith membawa watak Gardner dan anak pelakon itu, Jaden Smith sebagai anak lelaki itu, Christopher Jr.
Filem yang diadaptasi daripada buku autobiografi tulisannya dengan tajuk sama telah meraih kutipan sebanyak AS$307 juta.
Ia memaparkan kisah benar bagaimana Gardner tidak pernah berputus asa walaupun tidak berumah selama setahun dan terpaksa tidur di tandas awam.
Ketika itu, dia terus belajar bagaimana untuk menjadi broker saham dan akhirnya berjaya menubuhkan syarikat, Gardner Rich & Co di Chicago, Illinois dan membuat keuntungan berjuta-juta dolar hasil jual beli saham.
Jan Koum
WALAUPUN tidaklah sampai ke tahap menjadi seorang pengemis tetapi pengasas bersama aplikasi WhatsApp ini yang kini termasuk dalam golongan bilionair memang hidup susah pada zaman remaja berikutan statusnya sebagai imigran di Amerika Syarikat (AS).
Koum, 38, yang berketurunan Yahudi telah berhijrah dari Kiev, Ukraine pada 1992 bersama ibu dan neneknya pada usia 16 tahun untuk mencuba hidup baharu di AS.
Beliau pernah memberitahu pihak media bagaimana dia dan ibunya beratur bersama semata-mata mahu mendapat kupon makanan yang diedarkan kerajaan AS kerana tidak cukup wang untuk makan.
Kehidupannya bagai jatuh ditimpa tangga setelah ibunya disahkan menghidap kanser dan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan orang hilang upaya daripada kerajaan AS.
Untuk menyara hidupnya, Koum bekerja sebagai pencuci lantai dan dalam masa sama belajar komputer dengan membeli buku di kedai buku terpakai.
Beliau akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke San Jose State University, California dan setelah itu, bertugas sebagai jurutera di Yahoo sehingga 2007.
Apabila permohonannya untuk bekerja di Facebook ditolak oleh syarikat itu, dia bersama-sama rakannya, Brian Acton telah menubuhkan WhatsApp pada 2009.
Setelah Facebook membeli WhatsApp dengan harga AS$19 bilion pada awal tahun ini, dia telah menandatangani kontrak penjualan itu di luar bangunan pejabat kebajikan di Mountain View, California yang pernah menjadi tempat dia dan ibunya beratur untuk mengambil kupon makanan.